PROGRAM PEMBANGUNAN ASAS TANI DAN INDUSTRI ASAS TANI
PEMBANGUNAN USAHAWAN TANI MADA
Dalam tahun 2016, pihak MADA seperti mana tahun sebelumnya meneruskan pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Tani di mana ianya meliputi usahawan yang terlibat dalam sektor asas tani dan sektor industri asas tani. Program yang telah lama dilaksanakan ini bertujuan meningkatkan tahap kemahiran usahawan tani dalam aspek operasi dan pengeluaran, pengurusan perniagaan dan pemasaran yang lebih sistematik. Di antara kategori perniagaan yang diceburi merangkumi perniagaan pemprosesan makanan ringan, minuman, kuih tradisional, kraftangan, herba, kosmetik serta projek-projek perniagaan lain seperti jahitan, projek ternakan, projek tanaman dan akuakultur.
A. PROJEK INDUSTRI ASAS TANI
Industri Asas Tani merupakan satu sektor yang sedang berkembang pesat di mana ianya melibatkan pemprosesan produk-produk hasil pertanian bagi mempelbagaikan industri hiliran berasaskan pertanian seperti tanaman, ternakan dan akuakultur di Kawasan Muda. Sepanjang tahun 2016, projek-projek industri asas tani yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan peladang dan usahawan dengan menggunakan kepelbagaian sumber pertanian sedia ada adalah merangkumi Program Pembangunan Usahawan Tani MADA, Program Agropreneur Muda serta Agrotourism di Kawasan Muda.
Bagi melahirkan usahawan yang cekap, kompeten dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam menguruskan perniagaan, pihak MADA telah melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti pembangunan modal insan, peningkatan kapasiti pengeluaran dan pemodenan infrastruktur, persijilan dan akreditasi, penyelidikan dan pembangunan produk serta promosi dan pemasaran.
Justeru itu, pihak MADA telah berjaya melahirkan seramai 2,650 orang usahawan pada tahun 2016 di mana 1,300 orang merupakan usahawan industri asas tani dan 1,350 orang merupakan usahawan asas tani. Perincian bilangan usahawan yang dibimbing MADA adalah seperti berikut :-
Bilangan Usahawan Yang Dibimbing MADA
Bagi tahun 2016, nilai jualan bagi usahawan yang dibimbing oleh pihak MADA telah menunjukkan peningkatan yang positif. Produk industri asas tani usahawan bimbingan MADA telah mendapat permintaan yang tinggi pada tahun tersebut dan menyumbangkan nilai jualan yang tertinggi berbanding produk segar dan produk bukan makanan. Nilai jualan bagi keseluruhan produk telah meningkat sebanyak 13.4% iaitu daripada RM122,638,273 tahun 2015 kepada RM139,093,846 tahun 2016. Perincian Nilai Jualan Usahawan Tani MADA adalah seperti berikut :-