D. PROGRAM PROMOSI DAN PEMASARAN PRODUK ASAS TANI DAN INDUSTRI ASAS TANI MADA
Elemen pembangunan produk, promosi dan pemasaran memainkan peranan yang penting dalam memangkin pengeluaran produk yang berkualiti dan berdaya saing. Oleh yang demikian, pada tahun 2016 pihak MADA telah menumpukan program pemasaran yang merangkumi aktiviti pembangunan produk, pembangunan pusat pengumpulan produk usahawan serta promosi dan jualan. Aktiviti ini dilaksanakan bagi membolehkan produk usahawan bimbingan MADA berdaya saing serta mampu menembusi pasaran global.

i. Pembangunan Produk
Pada tahun 2016, sebanyak 31 jenis produk telah terlibat dalam aktiviti pembangunan produk dan ianya telah memberikan manfaat kepada 31 orang usahawan bimbingan MADA. Aktiviti pembangunan produk yang disediakan kepada usahawan dengan kerjasama badan penyelidikan yang terpilih adalah merangkumi fakta nutrisi asas dan analisa kimia dan fizikal. Sementara itu, sebanyak 6 jenis produk telah terlibat dalam pembangunan pembungkusan dan peningkatan kualiti produk iaitu memberi manafaat kepada 6 orang usahawan. Pencapaian aktiviti bagi pembangunan produk adalah seperti berikut :-


ii. Pembangunan Pusat Pengumpulan Produk Industri Asas Tani MADA
Pusat pengumpulan produk usahawan terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu Pusat Pengumpulan yang dijenamakan di atas jenama Peladang Mart Shoppe (PMS) dan Pusat Pengumpulan Produk MADA (PP).

Peladang Mart Shoppe (PMS) merupakan rangkaian pusat pengumpulan produk yang diuruskan oleh usahawan pemasar MADA yang berdaya saing. Sehingga 2016, terdapat 7 buah PMS di dalam Kawasan Muda. Sementara itu, Pusat Pengumpulan Produk MADA (PP) merupakan sebuah pusat jualan produk usahawan yang diuruskan oleh anak syarikat MADA dan PPK. Sehingga 2016, terdapat 7 buah PP di dalam Kawasan Muda.

Pada tahun 2016 pusat pengumpulan dan jualan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) telah dilaksanakan dalam kawasan MADA. Sebanyak 10 unit ABR1M telah diwujudkan dan diuruskan oleh usahawan pemasar MADA.

Secara keseluruhannya, nilai jualan terkumpul bagi keseluruhan Pusat Pengumpulan Produk pada tahun 2016 ialah sebanyak RM13,927,156 . Maklumat terperinci bagi pencapaian Pusat Pengumpulan Produk IAT adalah seperti carta di bawah :-


iii. Promosi Peringkat Domestik dan Antarabangsa
Aktiviti promosi yang merangkumi peringkat domestik dan antarabangsa dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun 2016 bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka. Program promosi ini menjadi medan bagi usahawan memperkenalkan produk-produk mereka sekaligus menjadi platform untuk bertemu dengan usahawan pemasar yang berminat untuk memasarkan produk mereka secara berskala besar.

Berakhir tahun 2016, pihak MADA telah menyertai 83 kali program promosi peringkat domestik dan 6 kali program misi perdagangan luar Negara anjuran Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia (MoA) sekaligus telah menjadikan keseluruhan bilangan promosi yang disertai oleh pihak MADA ialah 89 kali. Secara keseluruhannya, usahawan yang menerima manfaat sepanjang pelaksanaan program ini adalah sebanyak 338 orang. Perincian adalah seperti jadual di bawah :

Pages: 1 2 3 4 5