B. PROGRAM PEMBANGUNAN SUMBER AIR (PEMBENIHAN AWAN)
Operasi Pembenihan Awan (OPA) antara pihak MADA dengan Jabatan Meterorlogi Malaysia (JMM) di dalam kawasan tadahan adalah merupakan salah satu langkah proaktif yang dijalankan bagi meningkatkan isipadu takungan untuk menjayakan tanaman padi di Kawasan Muda.

Berdasarkan rekod, OPA bagi mendapatkan turunan hujan tiruan telah dilaksanakan di kawasan tadahan Empangan Pedu dan Muda semenjak tahun 1978. OPA dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kaji Cuaca (pada ketika itu) dan didapati telah membantu meningkatkan isipadu takungan air di ketiga-tiga empangan.

Sepanjang tahun 2016, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) telah menjalankan OPA menggunakan hygroscopic flare selama tiga (3) kali operasi bermula dari bulan April 2016 sehingga November 2016. OPA kali pertama bermula 13 April 2016 sehingga 25 Mei 2016, OPA kali kedua bermula 29 Ogos 2016 sehingga 8 September 2016 dan OPA kali ketiga bermula 11 November 2016 sehingga 17 November 2016.

Hasil daripada OPA kali pertama mendapati beberapa kawasan empangan milik MADA seperti Empangan Pedu, Muda dan Ahinng telah dituruni hujan selama 16 hari di sepanjang OPA dijalankan dan telah menyebabkan berlakunya peningkatan kepada paras air takungan. Walau bagaimanapun, paras takungan tersebut masih berada pada tahap kurang 50% disebabkan oleh operasi pelepasan air yang dijalankan bagi memenuhi permintaan bekalan untuk penanaman padi Musim 1/2016.

Hasil daripada OPA kali kedua mendapati beberapa kawasan tadahan empangan milik MADA seperti Empangan Pedu, Muda dan Ahning telah dituruni hujan selama 9 hari. Walau bagaimanapun, kadar hujan yang turun adalah sangat rendah dimana paras takungan empangan masih berada pada tahap kurang 50%.

Hasil daripada OPA kali ketiga mendapati aras takungan Empangan Pedu telah meningkatkan sebanyak 0.10%, Empangan Muda 7.14% dan Empangan Ahning 0.12% bersamaan 10,120 ekar kaki. Pihak MADA juga telah membantu menyediakan peruntukan untuk kos operasi tersebut sebanyak RM119,606.16.

RUMUSAN OPA
Peningkatan ini masih lagi rendah kerana turunan hujan bergantung kepada keadaan awan, kelembapan udara dan pergerakan angin semasa OPA. Keadaan ini juga dipengaruhi oleh fenomena El-Nino yang sedang melanda. Pergerakan angin telah mempengaruhi corak taburan hujan terhadap kawasan tadahan menyebabkan turunan hujan yang rendah di kawasan tadahan. Oleh yang demikian, OPA perlu diteruskan lagi sehingga keberkesanan dan peningkatan aras takungan dapat dicapai.

Pages: 1 2 3