PROGRAM PEMBANGUNAN INDUSTRI PADI

Negeri Kedah dan Perlis adalah terkenal dengan kawasan tanaman padi sehinggakan digelar jelapang padi negara. Kawasan yang diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda ini adalah seluas 130,282 hektar dimana 100, 685 hektar adalah kawasan pasel padi. Keluasan pasel padi ini merangkumi dua (2) buah negeri iaitu Negeri Kedah (80,612 hektar) dan Negeri Perlis (20,073 hektar). Keluasan pasel tanaman padi Kawasan Muda mewakili 35.13% daripada keluasan pasel padi negara.  Keluasan tanaman padi di Kawasan Muda adalah yang terbesar di Malaysia maka, bagi memastikan perjalanan pengurusan dan pentadbiran MADA berjalan dengan lancar, MADA dibahagikan kepada empat (4) wilayah iaitu, Wilayah I (Perlis), Wilayah II (Jitra), Wilayah III (Pendang) dan Wilayah IV (Kota Sarang Semut)

Kedudukan Keluasan Padi Kawasan Muda Berbanding Keluasan Jelapang Padi Lain Dan Keluasan LuarJelapang (Hektar).

Keluasan Tanaman Padi Mengikut Wilayah MADA

Dalam usaha memastikan pengeluaran hasil padi di Kawasan Muda dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa. Bahagian Industri Padi sentiasa berusaha melaksanakan penambahbaikan pelaksanaan aktiviti tanaman padi melalui program-program Pembangunan Industri Padi. Program ini dilaksanakan saban tahun dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalam aktiviti tanaman padi seperti pengurusan, teknologi, pembangunan infrastruktur, agronomi dan program sokongan yang lain.

Program Pengembangan Tahun 2020

Pada tahun 2020,  Bahagian Industri Padi mensasarkan pelaksanaan lima (5) kempen utama. Pelaksanaan kempen ini meliputi 4 Wilayah, 27 PPK dan 172 blok pengairan dengan anggaran bilangan peladang akan mendapat manfaat adalah seramai 55,000 orang peladang. Tujuan utama kempen ini dijalankan ialah untuk memberi kesedaran kepada peladang tentanng pengurusan tanaman padi yang efisyen sekaligus meningkatkan hasil dan seterusnya meningkatkan pendapatan peladang. Kempen ini juga bertujuan menggalakkan para peladang di Kawasan Muda agar menerapkan amalan pertanian baik, selain meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mereka dalam penanaman padi. Peladang juga diharap dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi kemungkinan serangan perosak dan penyakit dengan melakukan langkah pencegahan awal.

Pengembangan Mengikut Blok Pengairan

Peta 1: Peta Kawasan MADA

Skop program pengembangan yang sedang dan akan dilaksanakan berdasarkan kepada:

  1. Zon dan blok pengairan PPK.
  2. Gabungan kerjasama antara pegawai teknikal dan pertanian.
  3. Bekerja sebagai satu pasukan.
  4. Menjalankan program pengembangan pertanian dan pengairan.

Jadual Kempen Pengembangan Tahunan 2020

BI KEMPEN/AKTIVITI TEMPOH PELAKSANAAN
MUSIM 1/2020 MUSIM 2/2020
1 Tabur Terus Dalam Air Bertakung Feb – April 2020 Ogos – Okt 2020
2 Pematuhan Jadual Tanaman Mac/Apr – Mei 2020 Ogos/Sept – Okt 2020
3 Pematuhan Amalan Agronomi April – Sept 2020 Ogos 2020 – Dis 2020
4 Pengurusan Perosak & Penyakit Mei – Julai 2020 Sept – Nov 2020
5 Kempen Kawalan Rumpai (Sambau  dan Padi Angin) Feb – April 2020 Julai – Sept 2020

Pages: 1 2 3 4