Pemagaran Kawasan

Pemagaran kawasan ternakan hendaklah menggunakan pagar jenis18 “cyclone tight lock” yang mempunyai ketinggian 6 kaki. Kemudian di bahagian atas pagar ini ditambah lagi dua lapisan dawai (plain wire) bagi menambah ketinggian kepada 8 kaki. Beberapa “paddock” perlu dibuat bagi kawasan ternakan kerana dapat memudahkan pengurusan ternakan dan mengawal tanaman rumput yang ditanam sebagai makanan utama rusa. Oleh itu rusa-rusa akan dipindahkan daripada satu paddock kepada paddock lain apabila rumput di dalam paddock berkenaan telah berkurangan untuk diragut dan ini dapat menjamin kepada pertumbuhan rumput yang baik dan memudahkan pengurusan.

Penyediaan Tanah
Selepas kerja-kerja pemagaran selesai dibuat maka putaran tanah dilakukan untuk menabur benih-benih rumput. Selepas putaran pertama dilakukan baja ‘Christmas Island Rock Phospate’ (CIRP) dan ‘Mirate of Potash’ (MOP) ditabur. Kadar CIRP ialah 375 kg/ha dan MOP ialah 75 kg/ha. Kemudian putaran kedua dilakukan bagi menggaulkan baja-baja tersebut dengan tanah.

Menabur Benih Rumput
Rumput yang dicadang untuk ditanam bagi ternakan rusa adalah dari jenis campuran “guinea grass” (panicum maximum) dan “green panic”, Brachiaria decumbens dan Brachiaria humidicola. Kadar benih yang ditabur adalah diantara 8 kg hingga 10 kg sehektar. Rumput jenis Brachiaria decumbens dan Brachiaria humidicola ini mempunyai ketahanan terhadap ragutan rusa, cepat pulih semula selepas rusa dimasukkan, tidak memerlukan banyak penyelenggaraan dan adalah jenis menjalar yang dapat memenuhi kawasan tanaman dengan sepenuhnya.

Pembajaan
Pembajaan yang disyorkan bagi rumput pastura dalam setahun ialah:

UREA (N) = 375 kg/ha
Rock Phosphate (P) = 375 kg/ha
Mirate of Potash (K) = 75 kg/ha

 

Baja UREA biasanya diberi antara 4 hingga 6 kali setahun. Ujian keatas rumput juga mesti dilakukan bagi mengetahui kandungan nilai nitrogen (N) yang ada. Nilai N dalam rumput mesti tidak melebihi daripada 15%. Nilai N yang tinggi boleh menyebabkan rusa menjadi sakit perut atau cirit-birit. Rock Phosphate biasanya diberi 2 kali setahun manakala Mirate of Potash hanya perlu diberi sekali setahun.

Penjagaan Rusa
Rusa timor (Cervus timorensis) didapati dapat menyesuaikan diri dengan iklim di Malaysia dengan cepat berbanding dengan lain-lain varieti. Penyelidikan dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan mendapati antibodi haiwan tersebut amat kuat sehinggakan ia tidak perlu diberi suntikan pencegahan. Pemeliharaan rusa secara besar-besaran adalah lebih menguntungkan kerana didapati seorang pekerja boleh menjaga antara 300 hingga 500 ekor rusa. Tetapi beberapa perkara penting dari berbagai aspek perlu juga dilihat untuk ternakan rusa seperti pengurusan pastura, patology, pembiakan dan juga pemilihan penternak yang betul-betul berminat. (New Straits Times 3/3/95 – “Lifestyle – The healthy alternative”)

Makanan
Rusa adalah sejenis haiwan herbivor yang dikategorikan sebagai haiwan yang mempunyai sistem pemindahan makanan yang sangat efisyen. Rutin makanan rusa adalah mudah kerana selain diberikan makan rumput ataupun bebas meragut ia juga boleh diberikan makanan tambahan iaitu bijian palet yang dicampur dengan multi-vitamin. Lain-lain daun tumbuhan juga boleh diberi sebagai makanannya melalui sistem potong dan bawa (cut and carry) seperti daun petai belalang, daun ubi, Acacia, Hibiscus, nangka, cempedak, lundai, ara dan lain-lain makanan seperti roti, pisang dan betik.

Pages: 1 2 3