Tahun Baru 2022 telah menyaksikan MADA memulakan wadah baru dengan mengadakan Majlis Amanat bagi Tahun 2022 bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar yang melibatkan pegawai Pengurusan dan Profesional serta kakitangan di peringkat Wilayah dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Ucaptama majlis dimulakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Kamarudin Dahuli, Pengurus Besar MADA ketika menyampaikan ucapan beliau melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada seluruh warga kerja MADA kerana telah bertungkus-lumus bekerja keras sepanjang tahun 2021 meskipun di dalam suasana pandemik. Beliau turut mengharapkan agar seluruh warga Keluarga MADA, agar bergerak kehadapan dengan penuh komitmen, keazaman dan kerja keras berpasukan yang tinggi dalam melaksanakan segala tugas yang telah diamanahkan disamping bersepakat dan berganding bahu mengukuhkan strategi kerja, dengan menerapkan budaya teknologi, efisien dan unggul, bagi meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk desa sekaligus melengkapkan dan menjamin keperluan bekalan makanan negara.

Majlis seterusnya diakhiri dengan ucapan oleh Yang Berhormat Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengerusi MADA. Di dalam ucapan amanatnya, beliau menzahirkan rasa bangga dengan keupayaan Keluarga MADA dalam mengharungi tahun 2021 dengan jayanya di dalam memastikan bekalan makanan kepada rakyat mencukupi dan tersedia. disamping berjaya mencapai 100% Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) bagi Penyaluran Bantuan dan Insentif Bagi Meningkatkan Taraf Hidup Kumpulan Sasar. Beliau turut memberi penekanan agar warga kerja MADA dapat mengorak langkah dengan lebih jelas ke arah mencapai aspirasi MADA untuk melebihkan pengeluaran hasil untuk negara.

Turut hadir sama ke majlis amanat ini adalah Yang Berusaha Tuan Haji Ahmad Hilmi Haji Talib, Pengerusi MADACorp.