Pada hari ini Yang Berhormat Ahmad Tarmizi bin Sulaiman, Pengerusi MADA bersama Tuan Haji Kamarudin Dahuli, Pengurus Besar MADA telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia, Kuala Lumpur.

Jabatan Pengairan dan Saliran yang dahulunya dikenali dengan nama Jabatan Parit dan Taliair (JPT) telah ditubuhkan pada tahun 1932 dan diberi tanggungjawab untuk menyediakan infrastruktur tanaman padi. Kini, tugas-tugas utama JPS termasuklah pengurusan sumber air dan hidrologi, pengurusan lembangan sungai, pengurusan banjir, zon pantai dan saliran mesra alam.

Kunjungan MADA kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia adalah bertujuan untuk membincangkan penambahbaikan sistem pengurusan pengairan di Kawasan Muda bagi aktiviti-aktiviti penanaman padi demi untuk menjaga kebajikan peladang-peladang untuk meningkatkan hasil pendapatan mereka serta negara. Turut hadir sama Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) Encik Zulkifli Romli, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) Encik Nik Kun bin Nik Man serta Ketua Cawangan Komunikasi Korporat (MADA) Encik Mohd Hafizi Zakaria.