Pada sebelah petang pula, Yang Berhormat Ahmad Tarmizi bin Sulaiman, Pengerusi MADA bersama Tuan Haji Kamarudin Dahuli, Pengurus Besar MADA berkesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengerusi FELDA bertempat di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

FELDA telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) adalah bertujuan untuk pembangunan tanah dan penempatan semula (dibawah GSA-Group Settlement Areas – Akta 530) dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.

Antara fungsi FELDA adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi. Pada tahun 1990, FELDA tidak lagi membuat pengambilan peneroka baru selepas 112,635 ditempatkan di 317 buah rancangan di seluruh negara. Kerajaan telah memberi kepercayaan kepada FELDA untuk berdiri dengan kewangan sendiri dan menjadi sebuah badan berkanun yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk menyokong pelbagai perkembangan melalui pelbagai perniagaannya. Sebagai usaha menjana pendapatan, FELDA telah melancarkan beberapa entiti korporat swasta terutamanya untuk memastikan rantaian nilai yang lengkap aktiviti terasnya. Antara yang terbesar adalah FELDA Holdings Sendirian Berhad, FELDA Plantations Sendirian Berhad dan FELDA Global Ventures (FGV).

Sehingga kini, FELDA terus menjalankan peranan utama dengan menyediakan beberapa kemudahan yang mencukupi dan moden di rancangan FELDA, memastikan generasi peneroka seterusnya mendapat asas pendidikan yang elok dan wajar termasuk berpendidikan tinggi kepada yang sesuai untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi dan kualiti hidup mereka.

Pihak MADA juga turut berbesar hati di atas perkongsian pengalaman yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengerusi FELDA. Turut hadir sama Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) Encik Zulkifli Romli, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) Encik Nik Kun bin Nik Man serta Ketua Cawangan Komunikasi Korporat (MADA) Encik Mohd Hafizi Zakaria.