Lawatan Kerja YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah ke Projek Pengurusan Estet Padi (EMM) 2.0 di bawah PPK FIII Pendang di Kampung Asam Jawa, Pendang. Dalam lawatan tersebut, MB diberi taklimat mengenai Panel Projek EMM2.0, Sistem SMART Farming dan Mesin Program EMM 2.0 oleh MADA.

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah melaksanakan program Model Pengurusan Estet Padi (Estate Management Model) 2.0 Pendang yang menggunakan Sistem Pertanian Pintar (SPP) yang mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman padi seterusnya meningkatkan produktiviti pesawah di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menjelang tahun 2026.

Program EMM yang selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 adalah satu model pengurusan penanaman padi yang menggabungkan komponen-komponen pertanian moden seperti perlaksanaan pengurusan sawah secara estet dan bersepadu, peningkatan kesuburan tanah sawah, penambahbaikan infrastruktur, pengurusan air di dalam petak sawah dan juga penggunaan jentera dan mekanisasi seperti bund compactor, jentuai mini, dron, dan aplikasi pemantauan dalam talian.