MADA hari ini telah menerima kunjungan oleh Tuan Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd. Ali Bin Mohd. Rustam bersama isteri ke AJI HERITAGE FARM sempena lawatan kerja rasmi ke negeri Perlis. Mengiringi TYT Tun Seri Setia dalam kunjungan ini ialah YAB Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Bin Man.

Ketibaan TYT Tun Seri Setia disambut oleh YB. Tuan Nurulhisham Bin Yaakob, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan & Komoditi Negeri Perlis bersama-sama Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, YBrs. En. Zulkifli Bin Romli dan Pengurus MADA Wilayah 1, YBrs. En. Zairizal Bin Zainon.

Dalam kunjungan ini, TYT Tun Seri Setia diberi taklimat santai dan dibawa melawat ke ladang tanaman mempelam harumanis yang diusahakan oleh Usahawan Bimbingan MADA di bawah kendalian PPK MADA B1, Kayang iaitu Pn. Che Aminah Binti Jaafar.

Puan Che Aminah terlibat dalam mengusahakan ladang tanaman mempelam harumanis dan ternakan kambing manakala adik beliau Pn. Siti Khadijah yang juga salah seorang Usahawan Bimbingan MADA pula mengusahakan kebun bunga ros dan homestay di AJI HERITAGE FARM.

Turut hadir sama dalam kunjungan ini adalah YB. Tuan Hamizan Bin Hassan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis bersama isteri, pegawai-pegawai MADA Wilayah 1 dan PPK, pegawai-pegawai agensi dan kerajaan negeri Perlis serta tetamu jemputan yang lain. Terima kasih diucapkan buat pegawai-pegawai MADA Wilayah 1 dan PPK MADA serta semua yang terlibat dalam menjayakan program pada hari ini.