PERTUBUHAN PELADANG KAWASAN (PPK)
SEJARAH PENUBUHAN PPK
Sebelum tahun 1967, Persatuan Peladang ditubuhkan oleh peladang-peladang di bawah Akta Persatuan (Societies Act) 1966. Pendekatan Kerajaan pada ketika itu ialah untuk menubuhkan Persatuan Peladang yang diselaraskan penubuhannya oleh kerajaan seperti di Taiwan. Lawatan pertama telah dibuat oleh Menteri Pertanian ketika itu Y.B. Tan Sri Ghazali bin Jawi pada awal tahun 1963. Lawatan kedua disertai oleh 200 orang yang terdiri daripada Pegawai Kementerian Pertanian, Pegawai Jabatan Pertanian dan pemimpin-pemimpin Persatuan Peladang. Selepas daripada lawatan tersebut, kerajaan telah membuat keputusan supaya menubuhkan Persatuan Peladang berdasarkan pendekatan yang dilaksanakan di Taiwan. Rang Undang-undang Persatuan Peladang dibentangkan di Parlimen dan diluluskan dengan dikuatkuasakan mulai Ogos 1967.
Selepas itu, Persatuan-Persatuan Peladang di kawasan pengairan Muda mula ditubuhkan antara tahun 1968 hingga 1972 di bawah Akta Persatuan Peladang 1967. Persatuan Peladang Kawasan dalam pengairan Muda telah ditubuhkan pertama kalinya pada tahun 1968 iaitu penubuhan Persatuan Peladang Kubang Sepat di mana keahliannya bermula seramai 215 orang dan saham bernilai RM500.00. Pada tahun 1969 sebanyak 13 buah PPK telah ditubuhkan dengan ahli seramai 490 orang bermodal saham sebanyak RM11,375.00 dan telah pun mempunyai harta sebanyak RM 3,459.00 serta memulakan perniagaan dengan isIpadu sebanyak RM787.00.
Pada tahun 1970 sebanyak 3 buah lagi PPK ditubuhkan menjadikan 16 buah PPK kesemuanya. Sambutan yang diberikan oleh peldang-peladang amat menggalakan sehingga seramai 5,378 orang telah menjadi dan mencarum sejumlah RM 48,255.00 modal saham serta mempunyai harta sejumlah RM226,058.00 dengan isipadu perniagaan pula telah meningkat ke RM52,317.00.
Diakhir tahun 1972, sebanyak 24 buah PPK telah ditubuhkan yang melibatkan jumlah ahli sebanyak 8,195 orang dengan modal saham sebanyak RM83,560.00. Isipadu perniagaan pula meningkat ke RM814,622.00 dan nilai harta yang dapat dikumpul pula melonjak ke RM1.24 Juta.