Pada tanggal 24 April 2025, satu kunjungan hormat telah diketuai oleh Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli, Pengurus Besar MADA ke atas Yang Berbahagia Datuk Zul Hadi Ahmad selaku Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi bagi mengeratkan hubungan strategik antara kedua-dua pihak, selain membincangkan pelbagai isu, perjalanan halatuju MADA, serta peluang kerjasama dalam memperkukuhkan sektor pertanian negara khususnya di Kawasan Muda. Dalam pertemuan ini, beberapa agenda penting telah dibincangkan termasuk halatuju pembangunan sektor agro-makanan di bawah kerangka Dasar Agromakanan Negara serta pelaksanaan inisiatif berasaskan teknologi dan inovasi pertanian pintar (smart farming) bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah.
Pengurus Besar MADA turut berkongsi kejayaan serta cabaran yang dihadapi oleh agensi dalam memacu pembangunan pertanian di wilayah tanggungjawabnya, khususnya dari segi pengurusan air, penggunaan teknologi pertanian moden dan pemerkasaan komuniti pesawah. Pihak Kementerian pula menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh MADA dan menyatakan komitmen untuk terus menyokong inisiatif yang memberi impak positif kepada keselamatan makanan negara. Ia diakhiri dengan sesi bergambar serta harapan agar hubungan baik ini akan diteruskan dalam bentuk kerjasama projek dan pembangunan dasar pada masa hadapan.
Turut sama hadir mewakili MADA ke kunjungan hormat iaitu Tuan Haji Muhamad Hisham Mohd Noor (Timbalan Pengurus Besar – Pertanian), Puan Engku Mazlin Engku Halin (Pengarah Bahagian Industri Padi), Encik Rumzi Ahmad (Pengarah Bahagian Perancangan dan Teknologi Maklumat), Engineer Encik Noor Effarizan Ismail (Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pengairan dan Saliran) serta Puan Surianie Bakar (Ketua Cawangan Perancangan dan Pembangunan).
BERITA LAIN