Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang bermula hari ini bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) diserbu ribuan pengunjung selepas ianya dibuka sejak jam 9.00 pagi. Rata-rata pengunjung yang hadir melahirkan rasa teruja apabila melihat sendiri ekspo pameran yang disediakan malah ada di kalangan pengunjung yang kagum melihat kelainan pada pameran kali ini dan menganggap ianya adalah meriah iaitu berkonsepkan aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi. Lebih menarik lagi, keistimewaan HPPNK yang bertemakan “Kudrat Kami Menjamin Pertiwi” pada kali ini juga telah menandakan Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 penubuhannya dan turut membawa gambaran tentang kekuatan, ketabahan dan dedikasi para peladang, penternak serta nelayan dalam memastikan makanan sentiasa mencukupi buat rakyat Malaysia. Tema yang inklusif ini juga adalah bagi menghargai serta mengangkat martabat sumbangan komuniti agro yang sering bekerja tanpa mengira masa dan cuaca demi memastikan bekalan makanan negara tidak terputus dan setiasa terjamin.
Sebagai acara dwi-tahunan yang menghimpunkan pemain industri utama, penganjuran HPPNK juga berfungsi sebagai medan pameran, jualan hasil tani, demonstrasi teknologi moden, forum ilmu serta tempat untuk menjalin kerjasama antara Agensi Kerajaan, institusi pendidikan, usahawan tani dan orang ramai. Ia menjadi ruang yang amat bermakna untuk melihat sejauh mana sektor ini telah berkembang serta apa yang boleh diteroka bersama untuk masa hadapan yang lebih mampan. Terdapat 18 segmen dan acara menarik menerusi empat (4) fokus utama menanti para pengunjung dan seisi keluarga antaranya e-Games & Fun Ride, Laman Padi & Nanas, Tanaman & Perikanan, Pameran Aquakultur & 3D Aquarium, Pameran & Pertandingan Kucing, Peluang TVET Pertanian, Pameran Mekanisasi & Robotik, ASEAN Farmers Village, Pavilion HPPNK & Sabah, Jualan Agro MADANI & Anak Pokok, Empayar Makanan, Cabutan Bertuah, Persembahan Artis serta bermacam-macam lagi pengisian menarik. Program seawal pagi telah dimulakan dengan Perasmian Pavilion HPPNK serta Sesi Walkabout oleh Yang Berbahagia Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha KPKM menyantuni keseluruhan pempamer booth pameran.
Sempena penganjuran HPPNK 2025 @ Sabah, Negeri Di Bawah Bayu, MADA telah membawakan satu pengalaman menyeluruh yang merangkumi pelbagai segmen menarik dan padat dengan nilai-nilai ilmu, budaya serta inovasi. Keistimewaan pada tahun ini terletak pada keupayaan MADA mempersembahkan kekuatan industri agro yang bukan sahaja memfokuskan kepada pertanian semata-mata, tetapi juga meliputi aspek pelancongan, teknologi, makanan, warisan dan gaya hidup komuniti tani secara keseluruhan seperti segmen Agro Farmers’ Village, Teknologi dan Inovasi di bawah Pavilion HPPNK, Sudut Pameran Agro Pelancongan MADA, Warung Kopi dan IAT, Jualan Produk Usahawan MADA serta pelbagai aktiviti interaktif yang menarik. Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli selaku Pengurus Besar MADA turut mengambil peluang pada hari pertama sebelah petang menyampaikan naratif Revolusi 5 Dekad Keusahawanan MADA di dalam siaran Pocket Talk (Live Streaming) bertempat di Agro Farmers’ Village. Dalam sesi ini, beliau mengupas perjalanan panjang MADA dalam memacu pembangunan sektor pertanian dan keusahawanan di kawasan luar bandar, serta mengajak lebih ramai golongan muda untuk terlibat di dalam industri ini. Melalui pembentangan tersebut, beliau turut menekankan akan kepentingan teknologi dan inovasi dalam meningkatkan hasil pertanian serta memperkasa komuniti petani di Malaysia.
'Datang Bah!' beramai-ramai memeriahkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 @ Sabah yang disertai oleh seluruh Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
#HPPNK2025 #madamabeles #KPKMMalaysia #CukupDanTerjamin #RealisasiReformasi #taatsetia
BERITA LAIN