Dalam usaha memastikan kelestarian dan jaminan masa depan pengeluaran makanan negara, penganjuran HPPNK @ Sabah pada tahun ini turut menekankan peranan penting teknologi dan inovasi dalam memacu transformasi industri agromakanan negara. Pendekatan ini meliputi penerapan teknologi berimpak tinggi, pelaksanaan pertanian pintar berketepatan tinggi (smart precision farming), pendigitalan rantaian pengeluaran, serta pengadaptasian mekanisasi dan automasi secara menyeluruh. Usaha ini turut merangkumi penguasaan terhadap sebahagian besar rantaian nilai pengeluaran berskala besar, yang secara langsung dapat memperkukuhkan daya saing industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan. Setelah 50 tahun meraikan Sambutan Jubli Emas penubuhannya, ekspo ini menonjolkan pencapaian sektor pertanian, ternakan dan perikanan dan sumbangan kesemua sektor ini disamping memaparkan aspirasi Kerajaan dalam membangunkan sektor pertanian ternakan dan perikanan untuk tempoh 50 tahun akan datang melalui pelaksanaan Dasar dan Polisi KPKM, pameran teknologi terkini serta program dan seminar berkaitan pertanian masa hadapan.
Pada hari kedua penganjuran HPPNK, pihak MADA telah melaksanakan beberapa program antaranya Pelancaran Produk JusGO Mangga Tobiar Gold dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pemasaran Produk Berasaskan Mempelam Tobiar Gold Di Antara Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA H-II Kepala Batas dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP) yang disaksikan dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta kehadiran wakil-wakil Jabatan / Agensi. Produk inovatif yang dibangunkan oleh PPK MADA H-II Kepala Batas dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ini menggunakan teknologi spray drying yang canggih, di mana produk JusGO mengekalkan rasa, warna, aroma serta kandungan nutrisi semula jadi buah mangga seperti Vitamin C dan Vitamin A, menjadikannya pilihan ideal untuk pengguna moden yang mementingkan gaya hidup sihat dan praktikal.
JusGO boleh dinikmati dengan mudah menggunakan air panas atau sejuk, menjadikannya sesuai untuk semua lapisan umur dan gaya hidup. Ia juga hadir dalam reka bentuk pembungkusan yang ringan, praktikal dan mudah dibawa, melengkapkan lagi rangkaian produk Tobiar Gold sedia ada seperti Bes Mangga Tobiar Gold dan Jus Mangga (Ready to Drink). Pelancaran produk JusGO merupakan langkah strategik MADA dalam memperkukuh daya saing usahawan peladang tempatan dan memperluas pasaran produk agro-makanan berasaskan buah tempatan di peringkat nasional dan serantau. Inisiatif ini adalah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan masyarakat melalui pemerkasaan ekonomi tempatan, keselamatan makanan negara dan pembangunan sektor pertanian yang mampan. Turut hadir memeriahkan ekspo HPPNK ini adalah terdiri dari ahli-ahli Lembaga Pengarah MADA serta kepimpinan peladang MADA yang mengambil bahagian di dalam Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan yang disempurnakan.
'Datang Bah!' beramai-ramai memeriahkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 @ Sabah yang disertai oleh seluruh Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
#HPPNK2025 #madamabeles #KPKMMalaysia #CukupDanTerjamin #RealisasiReformasi #taatsetia
BERITA LAIN