Perhimpunan Bulanan MADA Edisi Ke-2 bagi bulan September 2025 telah menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan dasar-dasar MADA, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kerajaan. Usaha ini bertujuan untuk memperkukuh semangat, integriti dan komitmen seluruh warga kerja MADA dalam memartabatkan sektor penanaman padi, khususnya di Kawasan Muda.
Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli selaku Pengurus Besar di dalam ucapan aluannya telah menekankan akan peri pentingnya warga MADA untuk menjaga aspek keselamatan diri sewaktu menjalankan tugas di lapangan berdasarkan insiden yang telah berlaku apabila terdapat jentera penuai padi jatuh ke Sungai Kampung Sanglang, Jitra Kedah dan mengakibatkan kematian seorang penuntut Polimas. Selain itu, beliau turut menyatakan rasa berbesar hati di atas pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di atas pengumuman Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) serta Pemansuhan Syarat Pengesahan Dalam Perkhidmatan Menunaikan Ibadah Fardhu Haji oleh Kerajaan Madani. Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan prestasi semasa dan halatuju MADA pada tahun ini melalui Pencapaian Key Performance Indikator (KPI) MADA Separuh Tahun 2025 yang perlu diambil serius bagi mencapai kelestarian hasil padi ke arah keterjaminan makanan negara.
Yang Berbahagia Dato' Dr. Ismail Salleh, Pengerusi MADA, dalam ucapannya turut mengingatkan warga MADA agar kembali merenung dan menghayati nilai-nilai Kemerdekaan serta Maulidul Rasul dengan meneladani akhlak, kepimpinan dan semangat kasih sayang yang dibawa oleh Baginda Nabi SAW. Beliau turut menyeru seluruh warga kerja agar menyambut dengan penuh iltizam ketegasan Kerajaan dalam usaha membangunkan negara ke arah sebuah negara maju yang berdaya saing, berteraskan nilai-nilai murni, kelestarian pertanian, serta kesejahteraan rakyat yang menyeluruh tanpa meminggirkan akar budaya dan jati diri bangsa. Majlis turut disempurnakan dengan penyampaian Anugerah Pelaporan Sistem Maklumat Pertanian (SMP) Musim 2/2024 kepada pemenang iaitu Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA C-III Tajar dan perindividu dari PPK MADA A-IV Batas Paip. Majlis turut diserikan dengan Penyampaian Watiqah Pelantikan Jawatankuasa Surau MADA kepada wakil yang telah dilantik serta diakhiri dengan Penyampaian Hadiah Pemenang Sudut Dekorasi Merdeka MADA dan nyanyian lagu 'Jalur Gemilang'.
#SambutanHariKebangsaan2025 #madamabeles #KPKMMalaysia #CukupDanTerjamin #RealisasiReformasi #taatsetia #MalaysiaMADANI #RakyatDisantuni
