Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, pihak Yayasan Rahmah Malaysia (YRM) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membawakan kepada rakyat Kedah program Jelajah Amanat Merdeka Peringkat Zon Utara bertempat di Tapak Pasar Tani Kekal FAMA, Guar Chempedak. Pelbagai acara dan program bermula dari seawal jam 7.30 pagi sehinggalah kepada sambutan ambang Merdeka pada jam 12.00 tengah malam. Pada ucaptama yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ismail Salleh, Pengerusi MADA telah menyatakan bahawa tanpa Projek Rancangan Pengairan Muda di bawah Rancangan Malaysia Pertama yang diasaskan oleh Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, maka Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkemungkinan tidak akan wujud meskipun pada era penjajahan British, Kerajaan British lebih mengutamakan industri timah dan getah serta mengutamakan mengimport beras daripada memajukan perusahaan padi tempatan yang merupakan sumber pendapatan utama orang Melayu. Semenjak penubuhan MADA bermula pada tanggal 30 Jun 1970 sehingga kini, MADA telah memainkan peranan penting di dalam meningkatkan pengeluaran padi di Kawasan Muda sehinggakan ianya menjadi kawasan pengeluaran padi utama di Malaysia serta menjadi penyumbang besar kepada bekalan beras negara.
Jelajah Amanat Merdeka Peringkat Zon Utara 2024 ini telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, Ahli Dewan Negara yang turut menyatakan di dalam ucapan pelancarannya bahawa Kerajaan Madani di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah berjaya menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. Usaha pembangunan negara yang holistik dan Madani tidak mungkin tercapai tanpa sistem kewangan yang adil, ihsan dan berlandaskan kepada maqasid Syariah. Justeru, dengan pulangan hasil daripada sasaran ekonomi negara yang lebih tinggi, maka tumpuan Kerajaan adalah untuk meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia. Ini merangkumi keperluan perlindungan sosial untuk semua, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih saksama dan sejahtera. Majlis diakhiri dengan acara pelepasan peserta konvoi Jelajah Amanat Merdeka yang terdiri dari gabungan tiga (3) buah negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menelusuri Mukim Guar Chempedak Daerah Yan disamping mengedarkan cetakan risalah watikah Permasyhuran Kemerdekaan 1957 oleh Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Perdana Menteri Malaysia Pertama.
Turut sama hadir memeriahkan majlis pelancaran ini ialah Dato' Wira Haji Mahfuz Omar (Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang), Cik Zuriana Binti Mat Adam (Pengarah FAMA Negeri Kedah), Encik Zulkifli Romli (Timbalan Pengurus Besar Pertanian MADA), Insinyur Encik Nik Kun Nik Man (Timbalan Pengurus Besar Teknikal MADA), Tuan Che Mat Dzaher Ahmad dan Puan Siti Balkhis Husain selaku Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MADA.
BERITA LAIN