Festival Mango & Agricultural Industry (PERMAI) 2025 dengan gabungan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Perlis yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 2 sehingga 4 Mei di dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) pada malam ini telah dimeriahkan dengan sambutan perasmian yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis disertai pameran Jabatan / Agensi khususnya MADA dan jualan usahawan dengan sasaran lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara. Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ismail Salleh (Pengerusi MADA) serta Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli (Pengurus Besar MADA) turut hadir memeriahkan majlis perasmian festival bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis serta turut menyatakan rasa bangga di atas penerimaan dua (2) anugerah iaitu ‘Pertubuhan Peladang Jaya’ dan penganugerahan ‘Peladang Jaya Lelaki’ ke atas Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA D-I Tambun Tulang.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di dalam titahnya turut menzahirkan rasa bangga terhadap pertumbuhan pesat industri mangga harumanis di negeri Perlis yang kini melibatkan lebih 2,600 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,745 hektar. Pencapaian ini bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada rakyat, malah memperkukuh imej Perlis sebagai negeri pertanian yang dinamik. Festival PERMAI yang mula diperkenalkan pada tahun ini kini menjadi platform komprehensif untuk mengangkat dan memperkukuh penyertaan peladang, penternak dan nelayan dalam pembangunan sektor agro di negeri Perlis. Turut sama hadir memeriahkan majlis perasmian festival adalah Yang Berbahagia Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Patik-patik sekalian warga Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sentiasa mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja bersama keluarga sentiasa di dalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wataala, dengan bertambah-tambah daulat, kemuliaan dan kebesaran, serta dilanjutkan usia, memerintah dengan adil dan saksama sebagai pelindung keamanan dan kesejahteraan rakyat sekalian.
BERITA LAIN