Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih ke atas Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) khususnya kepada Yang Berusaha Ir. Mohamad Radzi bin Abdul Talib selaku Ketua Pengarah kerana sudi menerima kunjungan hormat oleh Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli (Pengurus Besar MADA) serta hadir bersamanya Yang Berusaha Tuan Ir. Nik Kun Nik Man (Timbalan Pengurus Besar – Teknikal) bagi membincangkan perkara-perkara melibatkan tadbir urus, program-program serta sistem saliran pengairan di Kawasan Muda (MADA). Hubungan erat di antara agensi MADA bersama-sama Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia telah memainkan peranan dan kerjasama yang sangat penting bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan saliran berterusan serta dapat berjalan dengan sempurna tertakluk kepada peruntukan Jabatan / Agensi masing-masing.
Adalah menjadi harapan MADA untuk menyaksikan perbincangan dua (2) hala ini akan memberikan impak positif dan membuahkan keputusan serta tindakan yang terbaik yang mampu memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat khususnya kepada para pesawah di Kawasan Muda. Pihak MADA yakin dan percaya bahawa hubungan ini akan dapat diteruskan dan ditambahbaik mengikut keperluan dasar Kerajaan dari semasa ke semasa. Turut sama hadir mengiringi ke kunjungan hormat ini adalah Puan Siti Noor Mardiana binti Shahrom (Ketua Unit, Unit Perundangan & Tadbir Urus Lembaga – MADA).
 05.jpg)