Perhimpunan Bulanan MADA Tahun 2025 yang diadakan ini telah menjadi satu medium penting utama dalam menyampaikan maklumat terkini berkenaan dasar-dasar MADA, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kerajaan dalam usaha menaikkan kekuatan semangat dan integriti keseluruhan warga kakitangan MADA bagi memartabatkan sektor industri penanaman padi khususnya di Kawasan Muda. Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli selaku Pengurus Besar di dalam ucapan aluannya telah menekankan akan peri pentingnya semangat mereformasi islah dengan kadar segera terutamanya perkara berkaitan tatakelola bagi meningkatkan kecekapan kerja serta menghentikan dengan segera perkara-perkara yang boleh menjejaskan nama baik agensi di mata masyarakat. Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan prestasi semasa dan halatuju MADA pada tahun ini melalui Pencapaian Key Performance Indikator (KPI) MADA 2025 yang perlu diambil serius bagi mencapai kelestarian hasil padi ke arah keterjaminan makanan negara.
Selain itu juga, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ismail Salleh, Pengerusi MADA turut menyatakan akan komitmen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam usaha mereformasi agenda sektor penanaman padi di Kawasan Muda melalui kejayaan pelaksanaan Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima (5) Musim Dalam Tempoh Dua (2) Tahun yang merupakan suatu permulaan peralihan kepada pertanian pintar bagi meningkatkan pengeluaran padi serta memperkukuhkan jaminan bekalan makanan negara, di samping meningkatkan kapasiti sistem pengairan dan saliran serta memperkukuh pengamalan teknologi pertanian moden yang akan membolehkan para pesawah di Kawasan Muda melaksanakan penanaman padi secara lebih intensif. Sesungguhnya, inilah antara komitmen terbaik yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dalam memacu transformasi sektor pertanian di Kawasan Muda dan negara, ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing. Majlis diakhiri dengan Pelancaran Portal Bersepadu MADA serta Penyampaian Anugerah Pengiktirafan 5 Bintang Audit Pengurusan kepada PPK terpilih oleh Pengerusi MADA.
