Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pertanian Muda (MADA), MyDIGITAL dan Toshiba Digital Solutions Corporation telah berlangsung di Kuala Lumpur. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Toshiba Digital Solutions Corporation dan MyDIGITAL dalam inisiatif pemodenan sektor pertanian melalui pendekatan teknologi pintar. Projek ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan penggunaan data ramalan cuaca oleh Toshiba dalam Projek Ladang Padi IR4.0. MoU ini telah ditandatangani oleh Encik Adrian Marcellus, Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation; Encik Naoki Yamaguchi, Pengurus Besar Toshiba; dan Encik Zulkifli Romli, Pengurus Besar MADA dengan disaksikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM dan Tuan Shakib Ahmad Shakir Jamaluddin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik & Pengurusan) Kementerian Digital.
Teknologi ramalan ini menggunakan data radar cuaca dan turunan hujan untuk menjana jangkaan hujan sehingga 30 minit lebih awal, berperanan sebagai sistem amaran awal di ladang. Pendekatan ini membantu dalam perancangan aktiviti pertanian, mengurangkan risiko kerosakan hasil dan menyokong amalan pertanian mampan berasaskan data. Projek ini dimulakan sebagai projek rintis pertanian pintar menerusi kajian kebolehlaksanaan teknologi tersebut di bawah fasilitasi Bahagian Pemodenan Pertanian, KPKM dan MyDIGITAL Cooperation. Inisiatif ini dijangka akan turut menyumbang kepada pembangunan Peta Risiko Banjir (Hazard Map) serta menyokong agenda PINTAR yang diaspirasikan oleh YBM KPKM. Kerjasama ini merupakan antara inisiatif penting dalam merealisasikan transformasi digital sektor agromakanan negara, seiring dengan matlamat DAN 2.0 dan aspirasi Malaysia MADANI.
