Pelaksanaan program MADA Cergas Sihat (MCS) ini diadakan adalah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) yang menetapkan supaya pegawai digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi Saringan Kesihatan Kendiri serta perintah Kerajaan menetapkan agar pegawai yang berumur 40 tahun dan ke atas digalakkan menjalani Pemeriksaan Kesihatan Komprehensif berdasarkan Perintah Am 29. Program ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk meningkatkan produktiviti negara secara menyeluruh. Menyedari akan hakikat ini, pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia serta organisasi terlibat telah bersetuju mengambil inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada seluruh warga kerja MADA pada hari ini. Usaha ini bertujuan untuk menjalankan pengesanan awal terhadap faktor risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan pegawai dan kakitangan MADA. Sewaktu menyempurnakan program ini, Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli (Pengurus Besar) telah menyatakan dengan serius bahawa aspek kesihatan mental di tempat kerja wajar diberi perhatian serius demi kesejahteraan individu dan organisasi secara keseluruhan. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, ianya mampu mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik seperti serangan jantung, strok, kanser mahupun tekanan darah tinggi serta lain-lain penyakit yang bersangkutan.
