Yayasan Pelajaran Pertubuhan Peladang MADA (YPPPM) hari ini telah mengadakan Penyampaian Sijil-Sijil Tauliah Biasiswa Kecil Tahun 2023 dan Penyampaian Anugerah
Pelajar Cemerlang Tahun 2022 & 2023 bertempat di Dewan Al-Farabi, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Alor Setar. Seramai 36 orang pelajar-pelajar telah menerima biasiswa yayasan yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato' Dr. Ismail Salleh, Pengerusi MADA diiringi Pengurus Besar MADA, Haji Kamarudin Dahuli.
Pengerusi MADA di dalam ucapannya turut menegaskan bahawa 'pendidikan adalah merupakan acuan kemuliaan terpenting di dalam mengubah kehidupan. Pendidikan dan pembelajaran yang berterusan di setiap peringkat sekolah dapat membuka peluang pekerjaan yang cerah seterusnya menjamin kehidupan yang lebih baik. Kebijaksanaan ibu bapa menyusun dan merancang masa depan anak-anak agar lebih bersesuaian dengan perubahan masa, mampu mengurangkan kegagalan'. Beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah ke atas 84 orang pelajar-pelajar yang telah melakar kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan SPM, STPM, STAM bagi tahun 2022 dan 2023.
Pihak pengurusan tertinggi MADA sentiasa mendoakan agar Yayasan Pelajaran Pertubuhan Peladang MADA (YPPPM) akan terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar-pelajarnya dan menaikkan darjat dan martabat keilmuan selaras dengan hasrat Kerajaan menuju negara Malaysia Madani. Turut hadir sama ke majlis adalah Encik Mehad bin Othman (@ atau) Man selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Pertubuhan Peladang MADA, Wakil-Wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Perlis, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah YPPPM, Pengerusi-Pengerusi PPK serta bapa dan ibu kepada pelajar.
BERITA LAIN