Sesi Kunjungan Hormat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang diketuai oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ismail Salleh, Pengerusi MADA ke atas Yang Berbahagia Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta wakil-wakil kepimpinan MOTAC telah diadakan bertempat di Menara 1, Bangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Putrajaya bagi mengeratkan kerjasama erat dua (2) hala antara Kementerian serta Agensi Persekutuan iaitu MADA, serta turut membincangkan perkara-perkara berkaitan halatuju di dalam mengembalikan semula kegemilangan sejarah tapak warisan Terusan Wan Mat Saman yang merupakan sistem pengairan padi yang pertama di Malaysia yang juga kini telah mencecah usia 134 tahun berlokasi di Kawasan Muda (MADA) disamping membincangkan program-program yang dapat dijalankan secara kerjasama melibatkan pembangunan usahawan Agrotourism MADA dan hasrat serta usaha untuk mempromosikan tempat-tempat tarikan menarik di kawasan MADA bersempena Tahun Melawat Kedah 2025.
Pertemuan dua (2) hala ini dijangka dapat menghasilkan natijah yang positif serta mampu membuka lembaran baharu kerjasama strategik untuk dijadikan punca kuasa bagi kedua-dua pihak berkolaborasi. Pihak pengurusan tertinggi MADA ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada seluruh kepimpinan pengurusan tertinggi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di atas kesudian menerima kunjungan ini dan mengharapkan agar seluruh warga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Jabatan / Agensi di bawahnya dapat terus gah mempromosikan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia serta produk-produk pelancongan sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara.
Turut sama hadir mengiringi Pengerusi MADA ke kunjungan hormat ini adalah Tuan Haji Kamarudin Dahuli (Pengurus Besar), Encik Zulkifli Romli (Timbalan Pengurus Besar – Pertanian), Ir. Encik Nik Kun Nik Man (Timbalan Pengurus Besar – Teknikal), Tuan Che Mat Dzaher Ahmad serta Puan Siti Balkhis Husain selaku Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MADA serta Puan Nik Fazlina Nik Ahmad (Pengarah Bahagian Indsutri Makanan dan Usahawan).
BERITA LAIN