Dalam menyahut seruan Gelombang Padi, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berhasrat untuk memfokuskan bagi menarik minat golongan muda di dalam sektor pertanian berteknologi tinggi selari dengan perkembangan revolusi perindustrian (IR 4.0) yang kini telah menjadi pencetus semangat buat golongan muda untuk bergiat dalam bidang pertanian. Bagi meyokong agenda Gelombang Padi, pihak KPKM telah menggariskan 12 inisiatif dan program yang akan dilaksanakan termasuklah memperluaskan pelaksanaan program seperti Smart SBB Ala Sekinchan MADA yang merupakan inisiatif pihak kerajaan dalam melonjakkan pembangunan industri padi dan beras negara ke tahap yang lebih baik.
Pada hari ini juga, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah turun padang menyaksikan dan melaksanakan proses penuaian padi Projek Smart SBB Ala Sekinchan MADA Hampung Gulau yang telah diusahakan MADA dengan kawasan seluas 38.995 hektar melibatkan 10 orang peserta. Peserta projek Smart SBB yang terdiri dari kalangan Peladang Muda MADA telah mula membuktikan dengan keyakinan dan semangat serta membuka minda untuk lebih berminat dengan pertanian serta mengamalkan amalan pertanian berteknologi tinggi. Dengan pelaksanaan program ini ianya akan memberikan impak terhadap pengeluaran hasil padi di kawasan Muda dan mutu pengurusan ladang seperti peningkatan produktiviti sebanyak 62.6% sekiranya pengeluaran hasil padi mencapai 10 tan perhektar dalam tempoh pelaksanaan projek.
Turut sama hadir ke program ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Bahagian Industri Padi Beras, Ketua-Ketua Pengarah Jabatan / Agensi dibawah KPKM serta wakil seterusnya seluruh pihak pengurusan tertinggi dan kanan MADA.
BERITA LAIN