Program Lawatan Kerja Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Kawasan Muda (MADA) diteruskan lagi di sebelah petang dengan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 Tahun 2024 bersempena Program Ihsan MADANI bertempat di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA F-II Jerlun. Yang Berhormat Menteri telah menyempurnakan penyerahan bantuan berjumlah RM26,483,400.00 kepada 44,139 orang pesawah MADA bagi meringankan beban serta membela nasib pesawah. Penyerahan Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) ini adalah merupakan satu skim bantuan khusus untuk golongan pesawah padi yang berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh KPKM di mana sebanyak RM200 sebulan akan diagihkan untuk tempoh tiga (3) bulan atau semusim penanaman padi.
Pemberian BKST mula disalurkan bermula pada Tahun 2023 selepas dibentangkan di dalam sesi Belanjawan 2023 pada tanggal 7 Oktober 2022 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia. Bantuan ini melibatkan pesawah-pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan C-II Kerpan, E-II Kubang Sepat, F-II Jerlun dan I-II Kuala Sungai seramai 250 orang penerima bantuan sumbangan tunai berkenaan. Selain itu, Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menyempurnakan penyerahan mock cheque Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) Tahun 2024 berjumlah RM10,488,321.60 kepada 4,854 orang pesawah MADA sebagai simbolik kelulusan peruntukan pihak Kerajaan kepada para pesawah. Bantuan tersebut diberikan kepada pesawah-pesawah yang terkesan dan terjejas akibat bencana banjir di Kawasan Muda pada bulan September dan Oktober 2024 yang lalu yang melibatkan kawasan kerosakan seluas 5,976.02 hektar.
Disamping itu juga, Yang Berhomat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menyarankan agar seluruh pesawah-pesawah khususnya di Kawasan Muda (MADA) dan secara amnya di seluruh Malaysia untuk samasama menyertai Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang diperkenalkan oleh pihak Kementerian sebagai perlindungan sewaktu menghadapi risiko terjejas tanaman padi disebabkan oleh faktor bencana alam (banjir, kemarau atau ribut), penyakit tanaman atau perosak.
BERITA LAIN