Pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga kerja Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA E-IV Bukit Besar kerana telah mengadakan Sambutan Jubli Emas bagi memperingati ulang tahun ke-50 penubuhannya selama 2 hari bermula pada 5 Mac 2024. Yang Berusaha Tuan Haji Kamarudin Dahuli selaku Pengurus Besar MADA menyatakan di dalam ucapan perasmiannya bahawa sambutan itu diadakan bagi memupuk kesedaran dan sifat kebersamaan antara warga kerja PPK melalui penglibatan yang lebih meluas oleh keluarga peladang-peladang di dalam program dan aktiviti sambutan. Selaras dengan matlamat MADA dalam memajukan kesejahteraan hidup sebilangan besar penduduk desa serta melebihkan hasil untuk keperluan negara, beliau amat mengharapkan agar seluruh ahli-ahli PPK dapat berganding bahu menggembleng tenaga dan memberikan idea-idea baharu dalam memantapkan PPK ke arah yang lebih mapan.
Sejak penubuhannya pada tanggal 3 Februari 1975 sehingga kini, PPK E-IV Bukit Besar diantara keseluruhan 27 PPK di bawah seliaan MADA telah melalui satu rantaian perjalanan yang penuh dengan cabaran bagi memberikan khidmat yang terbaik khususnya kepada peladang-peladang di kawasannya. Sebanyak 13 program yang telah dilaksanakan bermula pada hari pertama sambutan antaranya adalah acara pertandingan berkonsepkan mewarna kanak-kanak, masakan nasi ulam, gubahan pulut kuning, bowling padang, musang berjanggut, tepung gombak, gusti lengan dan lain-lain acara yang rata-rata penyertaan adalah dari kalangan peladang-peladang kawasan. Program sambutan Jubli Emas ini turut demeriahkan dengan jamuan kenduri peladang hasil gotong-royong warga kerja PPK serta peladang melalui hidangan masakan kampung.
Turut sama hadir ke majlis perasmian sambutan adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Wilayah, Pengarah Bahagian Pengurusan Institusi Peladang serta Pengurus Wilayah 4 MADA Kota Sarang Semut.
BERITA LAIN