Buat julung-julung kalinya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda telah menganjurkan program MADA Day bermula dari 27 sehingga 29 Jun 2024 bertemakan 'MADA Bersama Peladang' menampilkan teknologi dan mekanisasi terkini yang berpandukan ke arah bidang pertanian. MADA telah menyediakan platform bagi menggalakkan penyertaan kepada ahli-ahli peladang, peserta MASPRO, usahawan-usahawan serta warga MADA untuk berinteraksi serta bertukar-tukar pandangan, ilmu pengurusan berkaitan mekanisasi yang efisien dan percambahan idea baharu bagi melestarikan rantaian nilai tanaman padi dan industri makanan. Antara program yang telah dilaksanakan pada hari pertama bermula dari jam 7.30 pagi sehingga 10.30 malam adalah :
- Fun Run.
- Pertandingan Sukan Rakyat.
- Perasmian MADA Day 2024.
- Taklimat Jom Masuk TVET
- Sembang Santai Teknologi Pertanian.
- Pertandingan Badang Muda & Badang Nita.
- Bola Sepak Tiga Penjuru.
- Bicara Ilmu bertajuk “Pertanian Berkah : Menjana Keuntungan Menebar Kebaikan”.
Selain itu juga, pihak MADA amat berbesar hati menerima kehadiran Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kerana sudi meluangkan masa menyempurnakan program ini serta turut berbesar hati di atas penyampaian bantuan wang ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada peladang-peladang MADA seramai 2,546 orang yang terkesan bencana banjir pada bulan Ogos dan September 2023 yang lalu dengan keluasan kerosakan seluas 3,276.40 hektar.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha (KPKM), YB. Tuan Haji Razali Saad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Pertanian, Perladangan & Industri Makanan), YB. Muhamad Amri Wahab, ADUN Derga mewakili Exco Pertanian Negeri Kedah, Encik Ishak Taib, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PPK MADA, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MADA, Pengerusi-Pengerusi Agensi dibawah KPKM dan Ketua-Ketua serta Pengarah Jabatan dan Agensi KPKM peringkat persekutuan dan negeri.
BERITA LAIN