Sebagai pembuka tirai kepada sambutan bersejarah ini, satu Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat telah diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan MADA Kali Ke-55 sebagai satu simbol penghargaan dan rasa syukur di atas segala nikmat kejayaan serta pencapaian yang telah diraih oleh MADA sepanjang 55 tahun penubuhannya. Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli selaku Pengurus Besar MADA sewaktu menyampaikan kalam tausiah dan taujihat di awal majlis turut menyatakan rasa gembira dan berbesar hati melihat kesatuan serta semangat kerjasama di antara seluruh warga MADA dalam membawa halatuju, misi dan visi MADA ke arah kecemerlangan yang berterusan, demi mengangkat martabat MADA ke arah kecemerlangan serta mengangkat darjat dan kesejahteraan komuniti para peladang. Beliau turut menekankan akan kepentingan mereformasi tatakelola diri serta rentak kerja berasaskan hasrat Kerajaan sebagai pemangkin kepada wadah perubahan, pembangunan kepada kemajuan serta penyampaian dasar-dasar Kerajaan yang memberi manfaat besar kepada rakyat. Selain itu, beliau turut menyentuh tentang kewajipan menjaga hubungan sesama manusia dengan penuh rasa hormat, kasih sayang dan tolak ansur kerana kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada pencapaian kerja semata-mata, malahan juga kepada keharmonian dan kerjasama antara warganya.
Tambahan lagi, sewaktu Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ismail Salleh, Pengerusi MADA menyampaikan ucaptama turut menyatakan rasa bangga dan terharu melihat pencapaian MADA sebagai pelopor penanaman padi 2 kali setahun di Kawasan Muda memberikan impak yang cukup besar kepada kehidupan para peladang dan juga Negara. Ujar beliau, peranan penting MADA di dalam mendorong, menggerak serta menyatukan keseluruhan para peladang ke dalam satu masyarakat yang dinamik dan progresif akan diteruskan sebagai teras wacana bagi mencetuskan pembangunan pertanian, ekonomi dan sosial berasaskan peluang-peluang baharu di masa kini dan akan datang. Ujar beliau lagi, tidak akan menjadi suatu kesaksian pengiktirafan di atas usaha warga MADA bersama para peladang di Kawasan Muda yang telah mengorbankan perit jerih usaha dan keringat untuk mengangkat Kawasan Muda sebagai Nadi Jelapang Padi Negara ke arah kemajuan serta kejayaan.
“Darjat Peladang Di Sanjung Tinggi, Martabat MADA Di Julang Megah”
