Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Anwar Ibrahim, Perdana Menteri hari ini telah mengadakan Lawatan Kerja ke Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima (5) Musim Dalam Tempoh Dua (2) Tahun di Kawasan Muda bertempat di Kampung Kemboja, Mukim Jerlun, Ayer Hitam. Dalam lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri telah mendengar taklimat terperinci mengenai pelaksanaan dan kemajuan projek pembangunan infrastruktur yang disampaikan oleh Encik Zulkifli Romli, Pengurus Besar MADA. Taklimat ini merangkumi skop projek, impak terhadap pengeluaran padi negara serta pendekatan strategik melalui kerjasama Awam-Swasta (PPP). Selari dengan agenda Kerajaan MADANI, projek ini bertujuan untuk memperkukuhkan bekalan makanan negara, meningkatkan pengeluaran beras tempatan serta menjamin pendapatan pesawah yang lebih mampan.
Melalui pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP), projek ini memberi tumpuan kepada penaiktarafan sistem pengairan dan saliran serta penggunaan teknologi moden dalam sektor penanaman padi. Dengan sasaran lima musim penanaman dalam dua tahun, negara dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada beras import dan meningkatkan tahap sara diri (SSL). Projek ini melibatkan dua komponen utama iaitu pembinaan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier dan Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu Fasa 1 dengan peruntukan sekitar RM1 bilion.
