Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Merafak Sembah, Menjunjung Setinggi-Tinggi Kasih Di Atas Limpah Perkenan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah serta Keluarga Berangkat ke Empangan Muda, Sik, Kedah.
Empangan Muda telah mula dibina pada 28 Julai 1966 dan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 1974. Empangan adalah sumber air kedua terpenting di Kawasan Muda iaitu sebanyak 32%. Pembinaan Empangan Muda ini adalah sebagai nadi bagi menjayakan Penanaman Padi 2 Kali Setahun di Kawasan Muda. Antara yang menarik perhatian bagi Empangan Muda ialah ianya dihubungkan dengan Empangan Pedu melalui sebuah terowong seluas lebih kurang 60 kaki. Terowong ini dikorek sejauh 13 9kilometer melalui bukit sepanjang jalanraya dari Kem Inlet di Empangan Muda ke Kem Outlet di Empangan Pedu. Tujuan utama terowong ini adalah untuk menyalurkan air dari Empangan Muda ke Empangan Pedu terutamanya ketika membekalkan pengairan kepada pesawah padi di bawah kelolaan MADA. Melalui terowong ini juga ianya dapat memudahkan pergerakan ikan-ikan antara kedua-dua empangan dan menjamin paras air diantara kedua-dua empangan sama ada pada waktu hujan atau pada waktu kemarau.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah turut bertitah agar semua pihak sentiasa berusaha memelihara alam semula jadi demi kelestariannya. Rakyat Malaysia tidak seharusnya mengambil ringan akan kepentingan kelestarian alam sekitar di negara ini kerana ia berfungsi untuk membekalkan keperluan asas hidup seperti air dan makanan. Baginda juga menyarankan agar rakyat mendekatkan diri dengan alam semula jadi dan mengambil peluang mengunjungi Hutan Simpan Ulu Muda untuk mempelajari kepentingan alam kepada manusia sejagat. Pihak MADA ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pihak yang menjayakan Majlis Keberangkatan Lawatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah bersama Keluarga ke Empangan Muda. Menjunjung Kasih Tuanku, Ampun Tuanku.
BERITA LAIN