Projek Ladang IR4.0 adalah merupakan satu inisiatif MADA dalam menyahut hasrat dan amanat pihak Kerajaan untuk merealisasikan pemodenan dan pendigitalan sektor agromakanan negara khususnya di dalam industri tanaman padi di Kawasan Muda. Projek yang berteraskan konsep pertanian digital, pintar dan tepat ini bertujuan untuk mewujudkan sistem sokongan keputusan (decision support system) yang pintar dengan aplikasi teknologi AI, analitik data raya (big data analytic) dan aplikasi teknologi IoT dalam menambahbaik pengurusan penanaman padi.
Projek Ladang IR4.0 ini telah mula dilaksanakan pada tanggal 10 Ogos 2022 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM 6 juta di mana keluasan projek ini adalah seluas 42.322 hektar meliputi Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB), Bohor A, Kampong Bohor, Kepala Batas, Jitra Kedah dengan jangkaan hasil outcome yang diperolehi antaranya penggunaan input dan kos pengurusan penanaman padi yang optimum serta membantu meningkatkan dan mengoptimumkan hasil tuaian.
Pihak MADA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Sim Tze Tzin selaku Pengerusi Technology Depository Agency Berhad (TDA) serta kepada seluruh pihak yang terlibat terutamanya Universiti Teknologi Petronas (UTP), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Prasarana Malaysia Berhad, Northern Corridor Economic Region (NCER), dan MKR Hartamas di dalam merealisasikan kerjasama di dalam mengketengahkan demonstrasi penggunaan teknologi terkini iaitu “PERANTI PREDITACK” terutamanya di kawasan penanaman padi di Kawasan Muda (MADA).
BERITA LAIN