Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hari ini memanjatkan rasa syukur serta Merafak Sembah, Menjunjung Setinggi-Tinggi Kasih Atas Limpah Perkenan, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Berangkat ke Majlis Perasmian Destinasi Agropelancongan MADA Wilayah 1 Perlis bertempat di Homestay Dangau Tok Chaq, Simpang Empat, Perlis bersempena Program Jelajah Agro Pelancongan MADA Tahun 2024 yang turut dimeriahkan oleh Team Tayar Golek (TTG) Negeri Perlis. Semenjak 54 tahun penubuhan MADA dalam memajukan industri padi di Kawasan Muda Negeri Kedah dan Perlis, pihak MADA turut dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan program-program keusahawanan tani melibatkan Usahawan Industri Asas Tani dan Usahawan Asas Tani serta ianya sebahagian daripada agenda pihak Kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan.
Sehingga bulan September 2024, usahawan-usahawan yang telah dibimbing oleh pihak MADA Wilayah 1 Perlis kini telah mencecah seramai 759 orang dan terdiri daripada usahawan yang melaksanakan pengeluaran Industri Asas Tani seperti kuih tradisional, produk-produk makanan dan pengeluaran produk asas tani seperti tanaman, ternakan dan akuakultur serta Agropelancongan dengan nilai janaan pendapatan berjumlah RM 17.2 Juta. Perasmian Homestay Dangau Tok Chaq yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis ini juga diadakan bersempena dengan Kayuhan MAIPs Peduli di bawah penyelarasan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang turut menyampaikan sumbangan barang keperluan asas dapur kepada tiga (3) keluarga di bawah kategori asnaf. Sesungguhnya Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku telah memberikan kenangan yang terindah buat patik–patik sekalian yang terlibat selaku pegawai dan kakitangan di peringkat Negeri dan Persekutuan secara keseluruhannya.
Patik-patik sekalian dari MADA akan sentiasa taat dan setia kepada Tuanku dan negara, serta akan terus mencurahkan khidmat bakti yang terbaik demi kemakmuran bersama serta berdoa semoga Duli Yang Teramat Mulia Tuanku bersama keluarga sentiasa di dalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wataala, dengan bertambah-tambah daulat, kemuliaan dan kebesaran, serta dilanjutkan usia, memerintah dengan adil dan saksama sebagai pelindung keamanan dan kesejahteraan rakyat sekelian.
Turut sama hadir memeriahkan acara kayuhan dan majlis ini adalah Dato’ Dr. Ismail Salleh (Pengerusi MADA), Encik Zulkifli Romli (Timbalan Pengurus Besar – Pertanian MADA), Ir. Encik Nik Kun Nik Man (Timbalan Pengurus Besar – Teknikal MADA), Puan Nik Fazlina Nik Ahmad (Pengarah Bahagian Industri Makanan & Usahwan), Puan Sakinah Ahmad Tarmizi (Pengurus MADA Wilayah 1 Perlis), Pegawai dan Kakitangan Pejabat Wilayah dan PPK MADA Wilayah 1 Perlis, wakil-wakil Pegawai Team Tayar Golek (TTG) seterusnya masyarakat setempat yang sudi hadir memeriahkan majlis ini.
'Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju'.
Daulat Tuanku.
BERITA LAIN