Tahun Baharu 2025 ini telah membuka tirainya dengan Majlis Peluncuran dan Pelepasan Benih Ikan Talapia oleh Tuan Haji Kamarudin Dahuli, Pengurus Besar MADA bertempat di Terusan Tengah Bukit Raya, Pendang. Majlis yang diadakan ini adalah sebagai sebuah simbolik pelaksanaan Projek Pemerkasaan Pengeluaran Akuakultur di bawah Program Keterjaminan Makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di mana salah satu inisiatif utama kerajaan Malaysia dalam usaha memastikan keselamatan dan keterjaminan bekalan makanan negara, khususnya dalam sektor akuakultur (ternakan ikan dan produk perikanan).
Projek ini akan memberikan sokongan kepada pengusaha perikanan tempatan, termasuk petani akuakultur, dalam bentuk bantuan kewangan, latihan, dan akses kepada pasaran yang lebih luas serta meningkatkan kemahiran pengusaha akuakultur tempatan dalam pengurusan dan amalan akuakultur yang mampan dan efisien. Dengan pengeluaran ikan dan produk akuakultur yang mencukupi, Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan laut dan memberi lebih banyak peluang kepada industri tempatan. Projek Pemerkasaan Pengeluaran Akuakultur di bawah Program Keterjaminan Makanan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan adalah satu langkah penting dalam memastikan Malaysia mempunyai sumber makanan akuakultur yang mencukupi, berkualiti tinggi, dan berdaya saing.
Turut sama hadir ke majlis ini adalah Encik Zulkifli Romli (Timbalan Pengurus Besar - Pertanian), Tuan Ir. Nik Kun Nik Man (Timbalan Pengurus Besar - Teknikal), Puan Nik Fazlina Nik Ahmad (Pengarah Bahagian Industri Makanan dan Usahawan), Encik Zairizal Zainon (Pengurus Wilayah III Pendang), Encik Mohammad Zuhdi Yusof (Pengurus PPK E-III Kobah), Pengarah-Pengarah Bahagian serta kakitangan bahagian dan PPK terlibat.
BERITA LAIN