Bulan Ramadan pada tahun ini sekali lagi telah menyaksikan MADA bersama-sama Kumpulan Peladang Muda berkolaborasi di dalam program
Jom Singgah Soq yang diadakan di kawasan MADA Wilayah II Jitra dengan edaran sejumlah 250 kotak makanan sahur kepada beberapa buah agensi kerajaan sebagai menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang sedang menjalankan tugas.
Majlis dimulakan dengan ucapan penghargaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kumpulan Peladang Muda, Encik Aswadil Khairi Che Omar dan seterusnya disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato Dr. Ismail Salleh selaku Pengerusi MADA. Secara dasarnya, Kumpulan Peladang Muda ini ditubuhkan bertujuan untuk menarik minat dan menggalakkan lebih ramai peladang-peladang muda selaku anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA, untuk bergiat secara aktif di dalam aktiviti-aktiviti dan program-program yang dianjurkan khususnya oleh PPK dan MADA secara amnya. Keahlian Peladang Muda (MADA) berjumlah 6,396 orang ini secara dasarnya akan dipupuk dan dilatih untuk menyerlahkan dan melahirkan pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan bijaksana, untuk memacu golongan peladang mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan sosial.
Turut sama hadir memeriahkan program ini antaranya Pengurus Besar MADA, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal), Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MADA iaitu Tuan Che Mat Dzaher Ahmad dan Puan Siti Balkhis Binti Husain.
BERITA LAIN