LATAR BELAKANG

Bahagian Industri Padi (BIP) bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan dengan sistem pengurusan berpusat Projek Pemacu Pertanian EPP 10 , pengembangan pertanian dan pemindahan teknologi terkini, pemantauan pengeluaran benih padi yang berkualiti tinggi serta pengurusan input pertanian dalam kawasan Muda. Pengurusan Bahagian ini di ketuai oleh Pengarah Bahagian Industri Padi yang bertanggungjawab terus kepada Pengurus Besar MADA.

VISI

Menjadi sebuah bahagian yang menggerakkan pembangunan industri padi dan sosio- ekonomi masyarakat tani di dalam kawasan Muda. 

MISI

  • Mentransformasikan industri padi ke tahap moden, cekap, mapan dan kompetitif.
  • Membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi dalam kawasan Muda.
  • Membangun dan memajukan Projek Projek Pemacu Pertanian EPP 10 ke tahap yang mapan.
  • Memperkasakan program pengembangan pertanian, pemindahan teknologi baru dan aktiviti tanaman padi di kawasan Muda

OBJEKTIF

  • Meningkatkan purata hasil padi dalam Projek Pemacu Pertanian EPP 10 sebanyak 7.1 tan sehektar dan keseluruhan Kawasan Muda sebanyak 7.0 tan sehektar pada tahun 2020.
  • Menjalankan program peningkatan kesuburan tanah.
  • Program pengembangan dan pemantauan rumpai dan perosak padi bagi mengurangkan serangan kurang 20% semusim.

Sejarah Pengembangan Pertanian Padi Di Kawasan Muda

Sepertimana yang diketahui, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah berjaya dalam usaha mereka untuk mempertingkatkan hasil pertanian padi petani dan menyelesaikan pelbagai masalah di dalam pertanian padi kawasan semenjak dua dekad lepas melalui program-program yang telah dijalankan. Inovasi pertanian yang berlaku seperti penyediaan infrastruktur yang rapi dan teratur, penemuan dan penggunaan benih padi bermutu, pengenalan jentera pertanian, penukaran sistem tanaman setahun sekali kepada dua kali setahun dan pengubahan kepada teknik tabur terus di kawasan Muda ini telah berjaya meningkatkan pengeluaran padi secara umumnya.

Walaupun MADA telah berjaya membawa pertanian kawasan Muda ke tahap kejayaan hari ini tetapi peredaran masa, teknologi dan dunia pertanian hari ini menyebabkan kedua-dua institusi ini masih menghadapi pelbagai isu dan masalah serta cabaran getir dalam memastikan kejayaan yang dicapai tersebut berterusan dan dapat mencapai tahap yang lebih tinggi bersesuaian dengan keperluan petani dan kehendak negara di dalam bidang pertanian. Terdapat pelbagai masalah yang perlu diselesaikan seperti masalah serangan perosak, penyakit tanaman padi, produktiviti, sistem pengairan, pemikiran petani terhadap pertanian padi, penerimaan dan pengamalan teknologi, sistem pengembangan yang berkesan, usia generasi petani aktif dan sebagainya.

Pengeluaran padi kawasan MADA pada masa sekarang mencapai purata 5 hingga 7 tan per hektar. Angka ini jauh lebih baik berbanding dengan satu atau dua dekad yang lalu. Walaupun begitu, untuk memenuhi keperluan negara dan mengatasi masalah import bahan makanan yang berlebihan serta kebergantungan kepada negara luar untuk membekalkan makanan negara maka sudah menjadi tanggungjawab terutamanya kawasan pengeluaran padi terbesar negara Malaysia iaitu kawasan Muda untuk memikul peranan ini.

Melalui kesedaran ini, matlamat pihak MADA agar pengeluaran padi kawasan Muda dapat dipertingkatkan. Sebagaimana kerja keras yang telah dilakukan semenjak dua (2) dekad yang lalu untuk mencapai tahap hari ini, senario ini perlu diteruskan juga sekiranya target 8 tan per hektar mahu dicapai. Untuk sama-sama bergerak mencapai matlamat ini kesediaan semua pihak termasuk petani dan organisasi MADA sendiri amat diperlukan. Kemampuan petani, kesediaan dan kepakaran MADA, infrastruktur dan sistem pengairan, sistem pengembangan, dasar sokongan kerajaan perlu diambilkira dimana ianya amat mempengaruhi proses pencapaian matlamat tersebut.

Pages: 1 2 3 4