Pembangunan Tersier
Pembangunan Infrastruktur Tersier (Muda II)
Setelah tamat projek Muda I, didapati kepadatan terusan berkadar 10 m/ha adalah terlalu rendah untuk pengagihan air secara berkesan dalam setiap blok pengairan. Topografi yang tidak rata, walaupun pada makronya Kawasan Muda adalah rata umumnya terdapat banyak tanah tinggi yang dikelilingi kawasan rendah yang menyekat laluan air. Keadaan ini menyebabkan pengagihan air pengairan menjadi terbantut untuk menepu dan mengairi sawah semasa pratepuan. Ini juga mengakibatkan kecekapan penggunaan air (WUE) menurun.
Bagi mengatasi masalah ini, MADA telah mengambil tindakan untuk mewujudkan program Infrastruktur Tersier di bawah projek Muda II bermula pada tahun 1979 untuk meningkatkan kepadatan taliair ke 30 m/ha. Sehingga kini sejumlah 38 blok pengairan (25,500 ha.) dari 172 blok pengairan telah dilengkapi dengan infrastruktur tersier.
Pembangunan infrastruktur tersier melibatkan pembinaan yang intensif terhadap rangkaian taliair dan parit tersier serta jalan ladang dalam sesuatu blok pengairan. Bermula dari taliair sekunder yang sedia ada, seterusnya disambung pula dengan taliair dan parit yang baru. Taliair dan parit ini dibina supaya kebanyakan (lebih kurang 80%) daripada lot-lot kadestra akan menerima kemudahan ini. Kebanyakan taliair dan parit tersier akan disediakan dengan jalan ladang untuk memastikan peladang-peladang menerima kemudahan pengangkutan.
Kebanyakan taliair tersier adalah dari jenis konkrit, dengan jalan ladang di sisinya manakala parit tersier dibina dari tanah dengan jalan ladang di sisinya. Dalam keadaan tertentu, terdapat juga parit dan taliair dibina selari disebabkan topografi setempat.Disepanjang taliair tersier, paip-paip pembekal hantaran ladang atau F.I.T (Farm Irrigation Turnout). Secara amnya satu F.I.T akan dipasang bagi tiap-tiap dua lot kadestra. Bagi menjamin sistem saliran yang sempurna, satu paip saliran aliran keluar atau D.O. (Drainage Outlet) dipasang di parit tersier bagi tiap-tiap dua lot kadestra.